Blogger Layouts

Thursday, May 24, 2012

Parlimen Malaysia~


Parlimen Malaysia merupakan badan perundangan kebangsaan Malaysia, berdasarkan sistem Parlimen Westminster. Parlimen Malaysia terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara (atau Senat). Ahli Dewan Rakyat dikenali sebagai ahli Parlimen, manakala ahli Dewan Negara diberi gelaran Senator.
Satu pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun untuk memilih wakil-wakil ke Dewan Rakyat; manakala ahli-ahli Dewan Negara, iaitu senator, sama seperti ahli-ahli Dewan Pertuanan di United Kingdom, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sidang Parlimen Malaysia diadakan di Bangunan Parlimen yang terletak di bandaraya Kuala Lumpur.

Bangunan Parlimen

Bangunan Parlimen Malaysia ialah sebuah bangunan yang tersegam indah di bandar raya Kuala Lumpur, Malaysia dan merupakan simbol demokrasi berparlimen serta simbol perpaduan kerajaan persekutuan Malaysia. Lokasinya terletak berhampiran Tugu Peringatan Negara di Taman Tasik Perdana.
Kompleks bangunan Parlimen ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebuah bangunan utama 3 tingkat dan sebuah menara setinggi 17 tingkat. Bangunan utama 3 tingkat ini menempatkan dua buah dewan utama iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara manakala sebuah menara setinggi 17 tingkat pula menempatkan pejabat pentadbiran, pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara.
Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, menyetujui cadangan pembinaan Parlimen pada Disember 1959. Kerja-kerja pembinaan disiapkan pada September 1962, dan perasmian bangunan Parlimen yang baru dijalankan oleh Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong yang ketiga, pada 21 November 1963. Pembinaan bangunan ini menelan kos perbelanjaan sebanyak RM18 juta.





No comments:

Post a Comment