Tujuh Keajaiban Dunia (atau Tujuh Keajaiban Dunia Purba) merupakan senarai tujuh ciptaan binaan purba yang menakjubkan. Versi yang paling awal diketahui telah dibuat pada abad kedua Sebelum Masihi oleh Antipater dari Sidon; yang menjadi panduan dikalangan pemerhati masyarakat Hellenik yang hanya memerhatikan hasil kerja pembinaan di sekitar Mediterranean.
1) BERHALA ZEUS DI OLYMPIA
Berhala Zeus di Olympia diukir oleh pengukir klasik terkenal iaitu Phidias (Kurun ke-5 Sebelum Masihi) kira-kira 435 SM, di Yunani, merupakan salah sebuah dari Tujuh Keajaiban Dunia. Dewa Zeus merupakan dewa bagi Yunani dan Mesir purba. Ia dibina di bandar kuno Olympia, sekitar 150 km barat Athens, di Greece. Binaan kuil asal yang menempatkan patung raksaksa ini dibina sekitar 450 BC, direka oleh arkitek Libon. Patung itu sendiri dicipta oleh pengukir patung Athean, Pheidias. Dibina dari bahagian gading, patung gergasi ini setinggi 45 kaki tinggi, memegang kemenangan pada tangan kanannya, dan cokmar pada tangan kirinya.
2) RUMAH API ISKANDARIAH
Rumah Api Iskandariah ataupun (Pharos Iskandariah) merupakan sebuah rumah api yang dibina pada abad ke-3 SM di pulau Pharos berhampiran dengan kota Iskandariah purba, Mesir purba. Ketinggiannya dianggar melebihi 115 meter dan merupakan antara struktur tertinggi ciptaan manusia selama beratus-ratus tahun. Antipater dari Sidon telah menyenaraikannya dalam senarai Tujuh Keajaiban Dunianya. Kawasan pesisiran pantai merupakan tanah rata dan kurang sesuai sebagai pelabuhan kerana tidak mempunyai panduan unutk pedagang dan pelayar.
3)MAKAM MAUSSOLLOS DI HALICARNASSUS
Makam Maussollos di Halicarnassus (kini Bodrum, Turki) merupakan sebuah makam besar yang dibina untuk Satrap (Gabenor) wilayah Parsi Curia Maussollos oleh isteri dan adiknya Artemisia II dari Caria. Bangunan makam direka oleh arkitek Yunani purba Satyrus dan Pythius. Tinggi makam ini 45 meter. Di dinding luarnya terdapat ukiran dan seni pahat. Antipater dari Sidon telah memasukkannya dalam senarai Tujuh Keajaiban Dunia. Makam ini dibina antara tahun 353 dan 350 SM dan berdiri selama 1,700 tahun. Bangunan ini akhirnya musnah akibat beberapa gempa bumi pada abad ke-14 dan ke-15.
4) TAMAN TERGANTUNG BABYLON
Taman Tergantung Babylon (juga dikenali sebagai Taman Tergantung Semiramis) dan tembok-tembok Babylon (kini Iraq) telah dipertimbangkan untuk menjadi salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia. Kedua-duanya telah dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II (604-562 BC), anak kepada Nabopolassar yang telah menguasai Kerajaan Babylon dan mengakibatkan berakhirnya tamadun Mesopotamia yang selama ini dibawah pimpinan Raja Hammurabi (1792-1750 BC). Taman tergantung Babylon terletak sekitar 50 kilometer selatan Baghdad, Iraq di sebelah tebing timur Sungai Euphrates. Taman Tergantung ini juga telah dicatatkan dalam sejarah Yunani seperti oleh Strabo dan Diodorus Siculus, tetapi tidak banyak bukti yang menyokong akan kewujudannya. Sesetengah bukti yang dikumpulkan ketika penggalian istana Babylon hanya menunjukkan sesuatu yang umum tetapi tidak menunjukkan lebih dari sekadar hiasan yang menarik. Sesetengah berpendapat yang lokasinya mungkin telah dikelirukan oleh masa yang terlalu lama tambahan pula dengan kewujudan sebuah taman di Nineveh kerana jelas batu-batu bersurat di sana lebih menunjukkan yang taman itu telahpun dijumpai. Tulisan pada batu itu menunjukkan sesuatu alat yang digunakan seakan-akan Skru Archimedes untuk mengangkat air ke tempat tinggi.
5) PIRAMID AGUNG KUFU
Piramid Agung Kufu merupakan satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia yang tertua dan yang terakhir masih tinggal. Piramid ini dipercayai dibina sebagai makam untuk Firaun Kufu (nama Greek: Cheops; tempoh pemerintahan: 2606-2583 SM) daripada Wangsa Mesir Keempat. Arkiteknya ialah Hemon, saudara Kufu. Piramid ini siap dibina pada sekitar tahun 2580 SM, setelah menelan masa 20 tahun. Piramid Agung Kufu merupakan piramid yang terbesar dan paling terkenal serta tertua antara tiga piramid (Piramid Kufu, Piramid Khafre dan Piramid Menkaure) di Bandar Kematian Giza, Mesir. Kawasan tersebut bersebelahan dengan bandar moden Kaherah, dan menjadi bahagian utama bagi kompleks bangunan-bangunan yang merangkumi laluan pejalan kaki yang istimewa, dua kuil, tiga piramid yang kecil (digelar piramid permaisuri), lubang-lubang untuk mengebumikan bot-bot serta mastaba-mastaba untuk bangsawan. Pada masa itu, juga terdapat sebuah bandar untuk pekerja-pekerja yang mengandungi antaranya perkuburan, kilang-kilang roti, kilang bir serta kompleks peleburan tembaga. Satu dari piramid kecil mengandungi makam ratu Hetepheres (dijumpai pada 1925), yang merupakan adik dan isteri Snefru dan juga ibu kepada Khufu. Banyak lagi kompleks-kompleks bangunan yang masih dalam usaha mencari dan menganalisis untuk Projek Pemetaan Giza.
6) KUIL ARTEMIS
Kuil Artemis (B. Greek: Ἀρτεμίσιον Artemision, B. Latin: Artemisium) merupakan kuil tamadun Yunani Purba yang dibina untuk menyembah dewa Artemis. Kuil ini dibina pada 550 S.M. di Ephesus yang terletak di negara Turki hari ini. Kuil ini tergolong dalam senarai Tujuh Keajaiban Dunia Purba tetapi telahpun dimusnahkan oleh Herostratus.
Kata Philo dari Byzantium:
Saya pernah melihat Taman Tergantung Babylon, Berhala Zeus di Olympia, Patung Raksasa Rhodes, seni agung Piramid serta Makam Mausollos. Tetapi kuil di Ephesus yang bangun mencecah awan ini meneduhi keajaiban-keajaiban yang lain itu.
7) PATUNG RAKSASA RHODES
Patung Raksasa Rhodes merupakan sebuah patung besar yang melambangkan tuhan Yunani purba Helios yang terletak di Rhodes, iaitu sebuah pulau Yunani. Patung ini didirikan oleh Chares dari Lindos antara 292 dan 280 SM dan merupakan salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia zaman purba. Patung Raksasa Rhodes berdiri setinggi 30 meter dan diperbuat daripada gangsa. Namun, selepas 56 tahun dibina, patung ini musnah akibat gempa bumi pada 226 SM.
No comments:
Post a Comment